Isnin, 29 November 2021

Monograf Diri 3: tersadung gong raja sulaiman di Banggol Tok Seh

Semalam aku pulang ke kampung untuk melawat ayah dan ibu. Dari atas batas tali air, dari jauh ku renung sayup ke Banggol Tok Seh yang kini nampak subur menghijau penuh dengan pokok-pokok getah yang sudah meninggi milik arwah Pak Su Soh Cik Siti ayah kepada Mat San. Seorang anak gemulah Pak Su Soh bernama Mat Robi sangat baik padaku, tetapi sejak dia berbini dengan orang Kelantan, kami kurang berhubung lagi. Banggol Tok Seh terletak di sebelah timur tari naik dari rumah ayah. Bentuk rupa bumi Banggol Tok Seh seperti tanjung yang dikelilingi gelung padi. 

       Dipanggil banggol disebabkan kawasannya agak tinggi sedikit berbanding tanah lapang yang lain. Nak sampai ke sana, cuma berjalan kaki dengan memakai selipar jepun separuh jalan dan bakinya terpaksa berkaki ayam kerana terpaksa mengharungi batas padi yang putus dan berpaya. Banyak benda terdapat di Banggol Tok Seh yang juga pernah jadi tempat aku mencari daun che' oak bersama-sama Cik Dayang Ayah Cik Mat untuk memberi makan kambing pada masa hujan renyai-renyai satu ketika dulu. Banggol Tok Seh juga tempat aku cari teras mesu mati wagam untuk buat perhiasan. Di sinilah juga tempat aku bidas burung dengan saing rodong. Merenung Banggol Tok Seh, masih segar diingatanku satu peristiwa sewaktu dikejar dan disengat tebuan tanah bersama-sama sepupuku Rani Mak Cik Long. Rasanya usiaku dalam lingkungan dua belas tahun begitulah. Memelihara anak burung, tidak kira apa jenis burung memang kegemaran aku masa itu. Antara burung yang aku pernah bela ialah burung pipit tuli, burung mala kuba, burung ngobok masam, burung ketitir, puyuh kampung dan satu dua jenis burung lagi. Ingat pasal burung, banyak sekali peristiwa yang kulalui berkaitan dengan burung. Daripada soal tahan jerat bikas ketitir dan ngobok yang sekali peristiwa terjerat bikas burung kerak nasi, tahan perkup puyuh dalam kampung Ayah Ngoh Cik Mor, tahan racip dan cucuh burung ketitir, tahan getah burung pipit tuli, tekup burung necek dan burung ngobok, jerba burung pucung sehinggalah ke depan dada sampai nelas dada kerana panjat pokok-pokok yang tinggi untuk dapatkan tiak raya sekali dengan sarangnya, semua pernah aku alami. Bercerita pasal tahan perkup puyuh, sebenarnya aku belajar daripada gemulah Tokki Man Hilir aku sendiri. Dipanggil Tokki Man Hilir kerana tinggal di sebelah hilir kampungku. Tokki Man Hilir adalah datuk daripada sebelah ibuku. Nama sebenarnya Othman bin Ismail. Perkup puyuh diperbuat daripada dua ruas buluh kering sebesar lengan orang tua dan salah satu ruas di belah-belah elok untuk dibuat jejaring tanpa menyeberangi ruas yang satu lagi. Apabila siap, rupa perkup puyuh seperti perkup untuk mengurung ayam kampunglah.

        
       Tiak raya. Itulah nama burung tempua yang orang kampungku sebut. Aku tidak berapa ingat bagaimana aku boleh jatuh hati pada tiak raya. Mungkin disebabkan amat tertarik dengan cara tiak raya membuat sarang dan tergantung-gantung pula di dahan pokok mesu dan pokok nyiur. Sekali imbas, sarang tiak raya tidak ubah seperti pokok periuk kera atau kendi kera.


       Hari itu, kurang pasti di lubuk memoriku bagaimana kami boleh sampai ke Banggol Tok Seh. Lihat, Rani Mak Cik Long panjat dahulu sepohon pokok getah untuk mengambil tiak raya dan sarangnya sekali. Aku masih berada di bawah. Agaknya terlalu ghairah, asyik aku mendongak Rani Mak Cik Long sedang bergayut-gayut di pangkal julai pokok getah sambil mengetus-ngetus ujung daun pokok gelam, tanpa sedar kaki aku terjerlus dan terlanggar setongkol sarang tebuan tanah. Detik itu jugalah terhambur keluar puluhan ibu tebuan tanah.

       Apa lagi, larilah aku terhuyung hayang sambil bertempik macam nak pecah Bukit Jong, bertempik-tempik sambil memanggil Rani Mak Cik Long. Dia pun sepantas kilat terjun dari atas julai pokok getah. Tidak kuingat tinggi mana terjunan itu. Acara larian seratus meter bersama-sama tebuan tanah pun bermulalah menyebabkan kami nyaris-nyaris terperosok di celah umbi sagu. Aku ikut satu laluan lorong pokok getah. Manakala Rani Mak Cik Long ikut lorong yang lain. Tapi akhirnya kami bertemu semula dekat jalan keluar dari Banggol Tok Seh. Setelah jarak agak jauh dari sarang tebuan tanah tadi, kami tidak berlari-lari lagi.

Kami berjalan sambil memicik-micik situ sini tubuh kami. Sesekali rasa panas dan pedih. Lima belas minit kemudian, sampailah kami di Kampung Banggol Tok Esah. Memang kami menuju ke situ dan pulang melalui jalan utama kampung itu. Jalan kampung masih belum berturap. Jalan tanah merah sahaja. Sebaik saja sampai dekat rumah Pak Cik Man Ketok, aku tak berapa ingat namanya, ada seorang tua memanggil kami untuk disapu belacan pada bekas sengatan tebuan tanah tadi. Apabila kami tiba di parit tali air dekat rumah Tok Dekkor, oleh suhu badan yang agak panas, aku mengajak Rani Mak Cik Long turun ke dalam parit tali air. 

       Sampai di rumah masing-masing, ibuku menyapu sejenis minyak yang aku tidak pasti jenamanya. Ibuku kata tebuan tanah sangat berbisa berbanding dengan tebuan pokok. Dengar khabar di pihak Rani Mak Cik Long pula, orang tuanya memandikan dengan air batu untuk menyejukkan badan. Keesokan harinya kedua-dua biji mata aku tidak dapat dibuka celik dengan luas. Kedua-dua biji mata membengkak merah. Mata tertutup rapat. Bebola mataku telah bertukar menjadi satu garisan macam mata Masor Putih Bisu semasa dia ketawa besar. Mata lebar bertukar menjadi ripit. Apabila nak berjalan ke dapur atau ke telaga, aku kelebek kedua-dua kelopak mata menggunakan jari tangan. Lucu pulak rasanya. Dalam keadaan panas sejuk macam nak demam, hari itu aku mulai menggunakan otak dan mulai belajar dengan persekitaran duniaku.Kejadian disengat tebuan tanah memberi ilmu kepadaku bahawa di mana ada tiak raya bersarang, maka di situlah tebuan membuat sarang. Ilmu pengetahuan yang amat berguna itu terlalu mahal kerana dewasa inipun masih sahih tiak raya dan tebuan tanah adalah sahabat paling akrab. Sejak peristiwa itu aku tidak berani lagi mengganggu sarang tebuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.