Jumaat, 29 November 2013

Monograf Diri 2: berlaga ikan sekilau tahi lembu


       Aku tidak tahu bagaimana hendak mulakan episod penulisanku kali ini. Tiba-tiba aku teringat zaman aku pada usia bersekolah rendah dulu. Kini sudah kurang lebih empat puluh tahun kutinggalkan. Tapi kurasakan seperti semalam berlalu. 

      Nun, jauh di desa lumpurku, ufuk nurani melambai memori ke sana. Sekiranya kami tidak pergi mengaji, biasanya, sebaik pulang dari sekolah, terus berjanji dengan saing rodong sekampung untuk turun ke padang mencari sekilau jantan. Buat berlaga. Suka sangat hati kami melihat sekilau kembang ekur, terkodek-kodek dan bergebeng sirip semasa berlaga dalam botol. Berlaga sekilau jantan ada dua cara. Mula-mula masukkan setiap botol sekilau jantan. Kemudian rapatkan satu botol dengan botol yang satu lagi. Jika terdapat lebih daripada dua botol kami rapatkan semua botol untuk melihat sekilau beradu tenaga. Masa itu, kami dapat melihat betapa indahnya sekilau bergebeng seperti corak kain batik berwarna warna gelap bercampur biru kehitaman. Ini hanya untuk menyeronokkan mata kami sahaja, sebab sekilau itu hanya berlawan secara berhalangan dalam botol masing-masing. Sekilau hanya berlaga bayang lawannya sahaja. Cara yang kedua, kami berlaga sekilau dalam satu bekas. Kami masukkan dua ekur sekilau dalam besen atau tempurung nyiur. Kami pilih tempurung nyiur yang agak lebar sedikit untuk memberi kelapangan kepada kedua-dua sekilau yang akan berlaga. Sekilau yang menang akan terus mengejar sekilau yang kalah. Kejadian kejar mengejar ini berlaku di sekeliling dalam besen atau tempurung nyiur. Ada juga sekilau yang tewas itu terus bacul dan neting keluar daripada besen atau tempurung nyiur tempat berlaga tadi. Saat musim menuai tiba. Biasanya musim inilah aku dan saing rodong mencari buluh untuk dibuat wa. Banyak jenis wa. Wa yang paling mudah aku buat ialah wa tukung. Di sini aku tidak mahu mengisahkah soal bermain wa. Akan kunukilkan pada lain kalilah.

       Istilah menuai padi, orang kampung kami sebut mukul padi. Sebab, orang-orang kampung kami sudah mula tanam jenis padi ringan. Istilah tanam padi pun dia orang sebut buat padi. Kalau jenis padi berat, padi akan diketam dengan ketaman tangan sahaja. Masih segar diingatanku, musim mukul padi baru selesai. Jerami padi yang hampir buruk masih bertimbun-timbun dan ada yang belum dibakar. Banyak ikan sepat bersarang di birai timbunan jerami padi. Tapi, kami kurang minat dengan sepat kerana sepat bukan jenis ikan dibuat berlaga. Aku selalu lihat sepat bersarang dalam gelung Kuchil dan gelung Pusu Khenong, dua bidang tanah padi milik ayah aku. Buihnya lebih besar jika dibandingkan dengan buih sekilau. Tapi cerita pasal sepat: sepat biasanya orang tangkap untuk dibuat umpan tauk. Kisah tahan tauk, akan kuceritakan pada episod yang lain. 

       Lihat, sewaktu nak turun ke padang, masing-masing sudah membawa bekas untuk mengisi sekilau nanti. Dalam bekas, kami sudahpun mengisi beberapa urat lumut air yang ditangguk di dalam tali air dekat titian batang kelapa bawah pokok getah tadi. Aku membawa botol bekas cuka makan. Aku ambil di dapur. Botol itu perlulah dibasuh cuci-cuci dengan dimasukkan sabun fab dan dicampurkan dengan sedikit pasir depan tangga rumah kami. Sabun fab sudah menjadi jenama panggilan ayahku bagi apa-apa jenis sabun serbuk pencuci. Kemudian digoncang kuat-kuat supaya benar-benar bersih dan tidak berbau cuka lagi. Kalau masih berbau cuka, sekilau mungkin akan mati. Saing rodong aku pula, macam-macam bekas mereka bawa. Ada yang bawa tempurung kelapa dipanggil geluk, ada yang bawa tenong almunium kepek buruk dan ada yang bawa beledi plastik kecik. Tapi yang pasti kami tidak lupa membawa jabir guna sebagai bekas sekilau sementara sebelum menggunakan botol. Kami turun berkaki ayam sahaja. Selipar jepun yang sudah banyak haus dan nampak berbayang di bahagian tumit menjadi alas kaki kami, kami tinggal di atas batas parit tali air dekat rumah Putih Bisu anak Pak Teh Li Tok Bomoh. Akan Pak Teh Li Tok Bomoh ini dikenali juga oleh set-set tua di kampung aku sebagai Pak Teh Li Che Doh.

        Kini masih hijau di ingatanku, waktu itu tidak bimbang langsung akan benda-benda tajam yang bakal menembusi telapak kaki kematu kami. Petang itu masing-masing cukup seronok. Hati kami terasa terlalu bebas. Bebas daripada tugasan kerja-kerja rumah yang Cikgu Wan Mansur, guru Bahasa Malaysia kami di Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong suruh siapkan pada hari itu dan wajib diserahkan pada hari esoknya. Namun, aku tidak berapa ingat sangat detik itu dalam tahun berapa. Terasa semacam ingat-ingat lupa begitu, tetapi yang pasti antara tahun 1974 hingga tahun 1976. Usiaku baru kira-kira sepuluh hingga dua belas tahun dan bersekolah sekitar dalam darjah empat hingga darjah enam begitulah. Masih kuingat akan saing rodong aku: seorang daripada mereka, yang juga sepupu aku dan berkulit agak gelap Usop Mak Cik Long, tapi dia pangkat adik padaku kerana lebih muda dari usiaku setahun, juga pangkat adik ialah Hasim Long Mek Midah, manakala yang sebaya denganku pula ialah Hashim Pak Teh Jamal, Mat Robi, Lan Cik De Nik, Pak Han Pak Su Leh, Wahab Pak Cik Dik, Azih Wook Mor, Mat Zu Pak Cik Id, Mat Yazik Mek Nong Pie, Pie Pak De Mor yang juga pak sepupu aku dan beberapa orang lagi termasuk adikku sendiri Mat Din. Aku ingat-ingat lupa, rasa-rasanya adikku Kudin yang pantang ada orang suruh berjogek, terus berjogek masih kecik lagi. Orang yang selalu suruh dia berjogek ialah Rosid Wook Mor. Waktu itu, Kudin belum berani turun padang cari sekilau. 

         Aku juga bergeng dengan saing rodong yang lebih tua sedikit iaitu Rani Mak Cik Long juga abang kepada Usop, Awang Janggi (orang panggil Awang Jannah) anak Pak Cik Man Siam, Usop Pak Cik Man Mok Cik Coh, Kolid Long Mek Midah, Awang Ayah Long Dang, Masor Putih Bisu, Masor Pak Ten Man (arwah), Masor Mok Teh Sanah, Masor Ayoh De Him, Rosid Wook Mor, Mat Nong Che Mek Sah (orang panggil Mat Nong Took), dan ramai lagi. Masing-masing ada gelaran tersendiri. Aku nak sebut di sinipun rasa kurang selesa akan setiap gelaran itu. Biarlah gelaran mereka yang kami cipta sendiri itu tinggal dalam lipatan kenangan kami sahaja.

        Biasanya hari-hari tidak bersekolah, kami rajin terkedap-kedap menelusuri di setiap tepi batas dan kami turun dalam sawah padi di Padang Jeram. Sawah padi kami sebut dalam padi sahaja. Petak-petak sawah padi ada nama tersendiri yang orang tua kampung kami beri nama seperti Gelung Kuchil, Gelung Pusu Khenong, Gelung Pat Megi, Gelung Palas dan banyak lagi. Kalau gelung-gelung padi yang agak jauh ke tengah padang, kami sebut dalam paya seperti Paya Tok Kemaman, Paya Tunggul, Paya Kubang Puasa, Paya Putat, Paya Geduk, Paya Klubi, Paya Blibis, Paya Mamat dan banyak lagi. Kawasan paya tidak dibuat batas, hanya dipacak kayu atau direntang tali peranggang untuk membezakan pemilik tanah padi.

       Hari itu, tidak semua saing rodongku turun ke padang mencari sekilau. Masih kuingat, petang itu hanya aku, Pak Han Pak Su Leh dan adikku Mat Din yang turun. Kami bertiga sahaja. Dalam hati perut kami hanya nampak sekilau. Memang itulah kerja yang paling kami wahi. Kami tangkap sekilau tidak menggunakan sebarang jejaring penangguk. Entah dari mana kami belajar, kami mahir menggunakan kedua-dua belah tangan seperti orang berdoa sebagai penangguk. Mula-mula kami pastikan sekilau jantan ada bersantai atau bercumbu bersama yang betina di dalam sarang di bawah butti. Kedua-dua belah tangan dan jari jemari dirapatkan dan disorong untuk mengepung sekilau jantan. Sekilau betina biasanya kami tidak tangguk. Kami biarkan sekilau betina berlalu uar dari sarangnya begitu saja. Sejurus kemudian, mudah sahaja sekilau jantan itu masuk di dalam kedua-dua telapak tangan kami. Kami angkat dan terus masukkan sekilau ke dalam jabir terlebih dahulu sebelum ke dalam botol. Sesekali berlaku juga kehilangan sekilau begitu pantas persis main silap mata. Puas kami cari. Lebut lepang sekitar sarang sekilau sehingga nyeng rumput kami lanyak. Seluar baju kami penuh selut. Kotor blokong jangan dikiralah. Namun sekilau gagal ditemui juga. Masa itu, kami ngumpat macam-macam kepada sekilau yang hilang itu. Ada yang kata sekilau berhantulah, sekilau bacullah, sekilau bedebohlah, sekilau tongonglah dan sekilau komang. Dalam pada itu pun, kami akan ulang berkali-kali perkataan sayang kepada sekilau yang hilang itu. "Sayang ngoh sekilau itu. Sayang ngoh sekilau itu", kami memuji berkali-kali betapa moleknya dan comelnya sekilau yang hilang itu. Sebab, barang sudah hilang, nak kata apa lagi selain memuji-mujinya pula. Tapi kami tidak berputus asa. Kami terus meneroka sarang-sarang sekilau yang lain.

       Kadang-kala kami terserempak dengan sarang tebuan, antara nampak dengan tidak, setongkol sebesar tubuh kami di birai batas padi di sebalik rok-rok keluduk. Kami tidak kaca sarang tebuan. Kami tahu, jika plekong dengan tanah kor, alamat kami bengkak mukalah. Orang kampung kami sebut bengkak cobong. Ertinya bengkak yang amat besar disebabkan sengatan tebuan. Soal kena sengat dan dikejar tebuan, sekali peristiwa aku bersama-sama Rani Mak Cik Long pernah diserang tebuan di Banggol Tok Seh, semasa cari sarang burung tiak raya. Aku dan Rani Mak Cik Long lari lintang pukang dan laju macam larian acara seratus meter masa main sport di padang sekolah. Kami lari ikut Banggol Tok Esah dan sebaik sahaja sampai berhampiran rumah Pak Cik Man Ketok, aku dibantu oleh orang-orang di situ. Mereka mahu bubuh belacan pada bekas sengatan tebuan  yang mula merah membengkak. Kisah kena kejar tebuan ini akan kuceritakan dalam episod yang lain juga. 

       Seboleh-bolehnya, kami nak dapatkan sekilau tahi lembu. Kata geng-geng kami, sekilau tahi lembu pemenang, kuat, nelang, gagah dan bekeng. Corak dan warna pada tubuh sekilau tahi lembu cukup menarik. Agak hitam kebiruan. Siripnya pula berwarna biru kemerahan. Sangat cantik. Saiz tubuhnya agak besar sedikit, tetapi tidaklah sebesar sekilau siam. Adapun asal usul julukan sekilau tahi lembu kami berikan, disebabkan sekilau jenis ini selalunya membuat sarang dengan cara membuih di birai tompok tahi lembu atau tahi kuba yang agak sudah lama berak, sekilau jenis ini tidak suka tahi lembu atau tahi kuba yang baru berak, sebab tahi yang baru berak boleh mempengaruhi warna air di sekitarnya. Dan keadaan ini tidak digemari  oleh sekilau tahi lembu. Satu lagi jenis ikan sekilau baka baik konon ialah yang bersarang buih di celah-celah umbi atau pelepah sagu buruk. Kami panggil sekilau sagu. Sekilau jenis ini hanya terdapat di seberang alur dalam alur, nun agak jauh di tengah-tengah Padang Jeram. Kalau naik dan pergi lepas alur itu akan sampailah kami ke Padang Kebor Air pulak yang terletak di sebelah timur matahari naik kampung kami. Tapi pencarian ikan sekilau tahi lembu kami tidaklah sampai ke padang seberang sana. 
Angin petang lembut berpuput. Tenang. Cuaca hari itu sangat baik tidak dapat digambarkan dalam apa-apa gaya bahasa. Tidaklah berapa panas sangat. Di hujung langit sebelah utara kulihat beberapa deretan dan tompok awan tersusun kemas seperti sisik ikan. Indah. Damai. Kini terasa sukar sekali untuk menatapi suasana dan panorama yang sebegitu.

       Padang Jeram tempat kami berlumpur dan berkubang litup sehingga nampak hanya dua butir biji mata saja, menimba dan menauk haruan, mengail puyu mandul apabila pecah panas tubik tari ketika air hampir surut lepas bah, main perahu lege masa air bah, tahan pukat masa air bah yang kerap sangat terpukat ular air, atas batas gelung padi selalu sangat terpijak muntah berang, di sinilah tempat kami main kapal layar diperbuat daripada sabut dan letak daun mete sebagai layar pada masa air memenuhi gelung petak sawah sebelum musim menanam, di sinilah tempat kami memanah keli mata dacing dan terus gaga telurnya di dasar sarang, di sinilah tempat kami cari ikan keruh di lopak, di sinilah tempat kami mengejar belalang untuk beri makan anak burung mala kuba yang kami cari dalam gonggong pokok durian atau atas puncak pokok nyiur dengan Mat Robeyoh, di sinilah tempat kami berdenak dan tahan pipit tuli untuk dijual dengan harga tiga puluh sen seekur, di sinilah tempat kami main nagor selut liat dan jek lintah pada budak-budak puan seperti Zaro Mok Wook, Ma Mek Som, Sanah Pak Teh Li, Semek Mok Teh Sanah, Mek Senoh Mak Cik Dang, Memom Mek Ayoh De Him, Rohani Mek Nong Pie, Zemah dan Yah Pak Su Leh dan ramai lagi. Dalam seramai itu, ada seorang puteri desaku yang tersemat dan bersemadi di jauh sudut hatiku. Air mataku banyak tumpah kerananya. Kami tiada jodoh untuk hidup bersama. Tamat pengajian di universiti, kami membawa haluan masing-masing. Tetapi yang pasti, pada waktu dulu-dulu, merekalah geng-geng kami ngail puyu di padang Jeram. Kami juga adalah ibarat angkatan bebudak lelaki dan perempuan ambil upah cabut semai untuk dipindahkan ke petak sawah pada musim menanam. Upahnya sepuluh sen seuting. Budak-budak sekarang mungkin tidak tahu lagi kiraan seuting anak padi. Di sinilah tempat kami menjerit bertempik apabila lintah kuba mencuri masuk ke lubang jubur taik atau lubang pelir yang masih berkulup itu tapi tidak pernahlah sampai minum air tuak untuk mematikan lintah kuba yang pernah masuk ke dalam lubang-lubang itu, sebab kata ayahku air tuak diminum apabila lintah kuba betul-betul masuk dalam perut saja dan di paya berlumpur inilah menjadi seperti syurga kami bersapa mesra, berkawan, bersaing rodong dan berteman tidak kira lelaki dan perempuan pada saban musim, sama ada musim menanam mahupun musim menuai. Boleh dikatakan di sinilah dunia kami segala-galanya selain daripada dunia sungai iaitu mandi sungai di Kalan Pak De Mor, kadang-kadang di Kalan Pinang dan di Kalan Pak Teh Por. Di sinilah sebahagian syurga dunia kami masa kecil tahun-tahun 1970-an dulu. Indah, permai, tenang dan mendamaikan.

       Kini, syurga itu sudah berubah. Keluduk berjelibung meninggi diselang seli rumput-rumput liar, malah di Padang Jeram sudah ada sebuah rumah sederhana besar bercat putih terpacak di padang Jeram seberang tali air dalam baroh depan rumah Pak Azeh. Berhampiran rumah itu dihijaukan dengan pokok sayur-sayuran, tebu, nyiur dan pisang. Pokok-pokok mesu dan lebang yang dulunya menjadi tempat burung tekukur dan ketitir bersarang-biak sudah lama menyembah bumi dan reput menjadi tahi tanah. Begitu jugalah pokok-pokok mengkuang dan sagu dalam tanah Pak De Mbong Badak di seberang tali air depan rumah ayahku sudah tiada lagi. Sampai ke telingaku, suara-suara orang politik kata sebuah kompleks sekolah akan dibangunkan di padang Jeram. Tapi entah bila, banyak orang kampung tidak tahu. Tempat sekilau tahi lembu bersarang sudah tiada lagi. Sekilau tahi lembu yang gagah dan bekeng sukar ditemui lagi. Budak-budak komputer hari ini tidak minat cari dan berlaga sekilau tahi lembu lagi. Kalau ada budak-budak yang berminat pun, mereka lebih suka beli sekilau siam yang dijual di kedai Cina di pekan Batu Enam dan Kedai Jo di pekan Kedai Manir sekadar untuk tontonan. Bukannya mereka hendak ke paya seperti zaman kami menjadi budak-budak dulu. Berlaga sekilau tahi lembu adalah antara helai waktu yang telah mendewasakan aku. 

       Aku sangat merindui suasana damai seperti dulu. Ah...indah dan tenang sekali waktu itu. Tapi apa boleh buat. Semua sudah berlalu pantas oleh pembangunan dan kemajuan, konon.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.